Ziana Zain Sah Bercerai Talak Satu

SHAH ALAM, 12 Julai — Kemelut kes perceraian penyanyi terkenal, Ziana Zain dengan suaminya Armin Zaharin Ahmad Zambri, akhirnya selesai hari ini apabila pasangan itu sah bercerai  dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

   Lafaz talak tersebut dilafazkan oleh Armin Zaharin, 53,  pada 2.48 petang di hadapan Hakim Syarie Mohd Nizar Mohtar.

   Armin Zaharin bersetuju untuk melafazkan talak namun memohon kebenaran mahkamah untuk memfailkan permohonan bagi menemui keempat-empat  anaknya.

   Sebelum membenarkan Armin Zaharin melafazkan cerai ke atas Ziana, 50, Mohd Nizar terlebih dahulu bertanya kepada Ziana selaku plaintif sekiranya wanita itu bersedia untuk mendengar lafaz tersebut.

“Ya, saya bersedia”, jawab Ziana dengan tenang. 

   Mohd Nizar berkata talak tersebut adalah menerusi talak rajie’ iaitu Ziana perlu menjalani tempoh idah selama tiga bulan.

   “Kamu berdua juga perlu mendaftarkan perceraian di Pejabat Agama Daerah Petaling. Berhubung isu penjagaan dan lawatan anak-anak, kedua-dua pihak boleh memfailkannya di Mahkamah Tinggi Syariah”, katanya.

Perceraian mereka dikemukakan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

    Ziana Zain atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain yang hadir ke mahkamah dengan jubah serba hitam kelihatan menangis teresak-esak selepas  bekas pramugara itu melafazkan cerai ke atasnya. 

   Armin Zaharin yang tidak diwakili peguam dengan memakai baju kemeja putih dan berseluar hitam kelihatan tenang sepanjang prosiding itu. Turut hadir ialah adik Ziana yang juga penyanyi terkenal Shahrul Anuar Zain atau Anuar Zain.

   Sebelum prosiding bermula, Ziana  yang diiwakili Peguam Syarie Yusfa Hanis Yussoff masuk ke dalam bilik bicara mahkamah diikuti dengan Armin Zaharin. Sepanjang 20 minit prosiding itu kedua- dua mereka juga  dilihat tidak bercakap. 

Selepas prosiding  selesai,  Armin Zaharin bergegas keluar dari bilik mahkamah dan media juga  gagal mendapatkan komen daripada lelaki itu.

   Ziana ketika ditemui pemberita sebelum meninggalkan kompleks mahkamah memanjatkan rasa yukur kerana proses itu berakhir dengan lancar dan mudah.

   “Alhamdulillah, saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya diberikan ketenangan jiwa selepas ini. Saya bukan pendendam. Saya dah lama maafkan dia (bekas suami). Saya tak pandai nak simpan dendam. Saya juga berdoa supaya dipermudahkan segala urusan saya serta pihak di sebelah sana,” katanya tenang.

   Pada 3 April lalu, Ziana yang popular dengan lagu Putus Terpaksa dan Berpisah Jua memfailkan  tuntutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah selepas Armin Zaharin enggan melafazkan cerai terhadapnya.

   Difahamkan  tuntutan perceraian itu berkaitan penderaan mental dialaminya, nafkah dan kes dera anak-anak mereka.

   Ziana mendirikan rumah tangga dengan Armin Zaharin pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview